PUNCA ANGIN DALAM BADAN

Angin yang terkumpul dalam perut biasanya akan menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan di kawasan tersebut kerana pembentukan gas akan meningkatkan tekanan di kawasan perut, seterusnya menjadi punca kesakitan di bahagian perut. Penghasilan gas di dalam perut adalah kejadian yang normal. Malah, semua orang menghasilkan gas di dalam perut mereka. Tetapi, proses buang angin sebanyak 15 hingga 20 kali sehari mampu untuk mengurangkan kandungan gas dalam perut. Tabiat menahan angin boleh menyebabkan angin terperangkap, lalu mengakibatkan rasa sakit yang teruk serta kembung, lalu menimbulkan rasa ketidakselesaan.

Secara ringkasnya, terdapat dua punca kepada masalah angin dalam badan iaitu:

  1. Proses Pernafasan
  2. Proses Pencernaan Makanan Bergula dan Karbohidrat

Kunci utama untuk mengatasi masalah angin adalah melalui proses pengurangan kandungan gas yang terhasil melalui proses penghadaman di dalam usus dan perut. Makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula akan mengambil masa yang lama untuk dicernakan oleh perut dan usus kecil. Oleh itu, proses pencernaan makanan yang bergula serta mengandungi karbohidrat berkemungkinan menjadi tidak lengkap sewaktu ia masuk ke dalam usus besar.

Usus besar merupakan ‘rumah’ kepada berjuta-juta bakteria baik (probiotik) yang akan bekerja untuk memecahkan molekul gula dan karbohidrat yang tidak dapat dicernakan oleh perut. Tetapi, proses pencernaan yang berlaku di dalam usus besar akan menghasilkan gas (nitrogen, karbon dioksida dan metana) dalam jumlah yang banyak. Sekiranya seseorang individu itu tidak dapat melepaskan angin dari dalam usus besar melalui proses buang angin atau sendawa, gas tersebut akan menjadi semakin banyak dan terus terperangkap di dalam sistem percernaan lalu menyebabkan perut berasa sakit dan kembung.